Hala Tuju Pelajar Selepas Peperiksaan

12/17/2015 04:32

Hala tuju selepas SPM dan STPM

SEJAK awal persekolahan menengah lagi, para pelajar sewajarnya mengetahui ke mana arah tujuan pendidikan dan kerjaya mereka. Walaupun ramai yang berminat melanjutkan pengajian ke universiti luar negara atau universiti tempatan, namun ada yang kabur dalam menentukan cita-cita akademik dan kerjaya.

Malah, ada yang telah mendapat keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/setaraf atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tetapi masih buntu menentukan hala tuju masing-masing.

Masalah ini akan mendatangkan bebanan minda kepada pelajar.

Dalam siri kedua ini, penulis cuba membantu pelajar dalam mencari arah tuju akademik dan kerjaya selepas menduduki peperiksaan yang penting kepada pelajar.

Jika pada dua minggu lepas penulis memberi dua panduan, pada kali ini penulis memberi dua lagi panduan yang boleh difikirkan oleh pelajar sebagai pilihan.

Seperkara yang harus diingat bahawa pelajarlah yang lebih mengetahui tentang kerjaya yang diminati, kursus yang diminati dan pelajar juga yang lebih mengetahui keupayaan sendiri semasa menjawab soalan-soalan SPM atau STPM.

Berikut ialah dua panduan hala tuju yang boleh dipilih oleh pelajar berdasarkan pencapaian peperiksaan SPM atau STPM/setaraf.

SPM/STPM / Setaraf Bekerja Melanjutkan pengajian Bekerja

Tidak semua pelajar yang mendapat kelulusan yang baik peperiksaan SPM/SPMV atau STPM/setaraf berpeluang melanjutkan pengajian.

Hal ini kerana pada setiap tahun, persaingan untuk melanjutkan pengajian sangat hebat.

Ramai juga pelajar yang mengambil keputusan untuk bekerja selepas menamatkan persekolahan mereka.

Hal ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi atau menjalankan tanggungjawab terhadap keluarga yang memerlukan pelajar itu bekerja walaupun memperoleh keputusan yang melayakkannya melanjutkan pengajian.

Walau bagaimanapun, selepas beberapa tahun bekerja individu ini berminat semula untuk melanjutkan pengajian ke universiti atau institusi pengajian tinggi.

Apatah lagi tanggungjawab yang dipikul semakin ringan dan sumber kewangan yang dikumpul mencukupi dan mengizinkannya untuk belajar.

Berbekalkan pengalaman kerja serta kelayakan akademik yang mencukupi individu ini memohon dan berjaya menjejakkan kaki ke universiti/institusi pengajian tinggi untuk melanjutkan pengajian.

Selepas beberapa tahun belajar, akhirnya dia berjaya memperoleh ijazah atau diploma seperti yang dicita-citakan. Semasa belajar di universiti atau institusi pengajian tinggi ramai dalam kalangan mereka mencapai keputusan yang lebih baik berbanding pelajar yang lebih muda daripada mereka. Ini mungkin disebabkan pengalaman yang dimiliki serta kesungguhan yang ditunjukkan semasa belajar.

Selepas menamatkan pengajian individu ini boleh menyambung semula perkhidmatan di tempat lama atau memohon pekerjaan di tempat yang baru atau mungkin bertukar profesion bersesuaian dengan kelayakannya.

Kebiasaannya, pendapatan mereka lebih tinggi berbanding sebelum melanjutkan pengajian, setimpal dengan apa yang telah diusahakan serta ketekunan mereka belajar di universiti atau institusi pengajian tinggi.

Sebagai rakyat Malaysia, pelajar mempunyai peluang yang luas untuk meningkatkan pendidikan dan kerjaya ke peringkat yang lebih tinggi. Walaupun telah bekerja anda boleh kembali menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi misalnya, di peringkat ijazah sarjana muda sama ada secara sepenuh masa, luar kampus atau secara jarak jauh.

Terserah kepada pelajar untuk memilihnya. Seperti kata pepatah Melayu, "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan". Peluang untuk belajar di negara ini sememangnya sentiasa terbuka luas.

SPM/STPM Bekerja sambil belajar

Situasi ini menunjukkan selepas memperoleh keputusan peperiksaan SPM/SPMV atau STPM/setaraf, calon-calon terus memohon pekerjaan menggunakan keputusan masing-masing.

Tetapi, yang berbeza dengan Kategori 3 ialah calon tidak berhenti bekerja, sebaliknya menyambung pengajian secara sambilan iaitu pengajian jarak jauh (secara maya) atau luar kampus, pengajian di hujung minggu atau di waktu malam. Kursus-kursus ini adalah di peringkat diploma atau ijazah sarjana muda yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi awam atau swasta tempatan atau antarabangsa.

Tempoh pengajiannya lebih panjang dan kadangkala sehingga menjangkau enam tahun. Berkat kesabaran dan sokongan keluarga calon berjaya memperoleh ijazah yang dicita-citakan.

Selepas menamatkan pengajian calon akan menggunakan ijazah atau diploma yang diperoleh untuk memohon kenaikan pangkat di tempat calon bekerja atau memohon pekerjaan di tempat lain bagi yang menawarkan pendapatan yang lebih tinggi.

Sebenarnya, belajar dalam keadaan begini amat memerlukan komitmen yang tinggi serta pengorbanan. pelajar terpaksa membahagikan masa dengan sebaik mungkin; masa untuk bekerja, masa untuk keluarga (jika berkeluarga) selain masa untuk pelajar mengikuti kuliah dan belajar.

Sesungguhnya, kejayaan yang dicapai melalui kaedah ini amat bermakna. Jika tidak ada kekuatan dalam diri kemungkinan seseorang itu akan kecundang di pertengahan jalan. Pelajar juga terpaksa mengorbankan wang ringgit bagi membiayai yuran pengajian dan keperluan lain semasa pengajian.



Artikel Penuh: https://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_02.htm#ixzz3ua5bFf9F 
© Utusan Melayu (M) Bhd